Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 9 Februari 2019

KELAZIMAN AUTISME dan PENTINGNYA PENGESANAN AWAL



Autism Spectrum Disorder (ASD) atau pun autisme secara singkat adalah gangguan perkembangan otak (neurodevelopmental) yang dicirikan dengan masalah dalam komunikasi, tingkah laku dan fungsi sosial yang bermula pada kanak-kanak.


KELAZIMAN AUTISME


Di Amerika Syarikat, 1 daripada 68 kanak-kanak berumur 8 tahun mempunyai ASD dan jumlah ini meningkat dalam beberapa tahun ini.

Di Malaysia, masih belum ada statistik kes yang telah disahkan ASD. Anggaran kes yang disyaki mempunyai autisme adalah lebih kurang 1 daripada 625 (1.6 dalam 1,000) di kalangan kanak-kanak berumur 18 hingga 36 bulan dalam kajian kemungkinan menggunakan M-CHAT  (modified checklist for autism in toddler) pada tahun 2005.

Adakah jumlah kes di Malaysia ini benar-benar lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain ataupun masih ramai lagi kes autisme yang belum dikesan?

Kajian juga menunjukkan bahawa autisme adalah 4-5 kali lebih biasa di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Penyakit autism boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial.


MENGAPA PENTINGNYA AUTISME DIKESAN AWAL?

90% perkembangan otak kanak-kanak berlaku sebelum umur 5 tahun!

Pengesanan awal penting agar intervensi awal dan rawatan autisme dapat mengoptimumkan potensi kanak-kanak tersebut. Intervensi awal terbukti membantu kanak-kanak autisme meningkatkan keupayaan dan mutu kehidupan mereka.

Akan tetapi, masih ramai ibu bapa yang belum mengenali ciri-ciri autisme pada anak-anak. Ini mengakibatkan ramai kanak-kanak autisme dirujuk lewat atau pun apabila mereka tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah biasa.

Sebaliknya, terdapat juga kalangan ibu bapa yang menafikan ciri-ciri autisme yang ada pada anak mereka menyebabkan kanak-kanak autisme ini kerugian tempoh kritikal di mana kanak-kanak ini boleh mendapatkan terapi dan rawatan intensif untuk masalah pertuturan, tingkah laku dan fungsi sosial mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.